“Tiba-tiba Orang Tak Dikenali Beritahu Ada Pokémon Di Bumbung Rumah Saya”

Kuala Lumpur: “Tiba-tiba ada orang tidak dikenali muncul di depan rumah saya, amat terkejut namun setelah diberitahu rupa-rupanya ada 'Pokémon' di atas bumbung!". Itu luahan pekerja swasta, Lum Choi Yan, 24, yang terkejut melihat seorang lelaki tidak dikenali berdiri di depan rumahnya sambil menghala telefon bimbit ke atas bumbung rumahnya, pagi semalam.



Lum berkata beliau hampir membuat laporan polis kerana gelagat lelaki itu sangat mencurigakan.

"Apabila saya bertanya, katanya ada seekor 'Pokémon' terbang ke bumbung dari taman permainan berhampiran rumah saya dan dia mengejarnya," katanya.

Beliau berkata, walaupun baru dilancarkan semalam, fenomena permainan Pokémon GO dilihat sudah membuatkan ramai 'terjebak' dan jika tidak berhati-hati dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan.

"Saya sendiri tidak berani untuk memuat turun aplikasi ini kerana rakan-rakan terlalu ketagih dengan permainan itu sehingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling termasuk ketika melintas jalan," katanya.

Mahasiswa universiti awam, Lily Ferawati Rofil, 27, berkata gelagat pemain Pokémon GO boleh dilihat di mana-mana sahaja terutama di kawasan tumpuan ramai.

"Saya muat turun aplikasi itu dan mendapati kebanyakan tempat yang menjadi 'sasaran' pemain memburu 'Pokémon' ialah rumah ibadah, seperti masjid dan tokong, di depan bangunan tinggi atau kawasan tersorok.

"Contoh, kawasan tersorok seperti papan tanda yang rosak ataupun di belakang tandas awam tiba-tiba dikerumuni orang ramai disebabkan permainan ini," katanya.


Jurutera Awam Tieu Chect Hou, 28, berkata beliau hampir terlanggar seorang remaja perempuan yang terlalu 'taksub' memburu Pokémon ketika makan tengah hari di sebuah restoran di Pudu.

"Saya tengok dia jalan ke hulu ke hilir sambil memegang telefon bimbit dan senyum seorang diri tanpa menghiraukan orang di sekeliling, sehingga melanggar orang pun tidak tahu untuk meminta maaf.

"Apabila melihat dari belakang, barulah tahu beliau sedang bermain Pokémon GO.

Melihat keadaan ini, saya tidak berani memuat turun aplikasi itu kerana semua orang bagaikan sudah 'gila' terjebak dengan permainan itu," katanya. - myMetro


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments