“Kita Kena Sentiasa Pastikan Diri Diisi Dengan Ilmu Agama” – Aida Khalida

NAMA Aida Khalida sudah tidak asing dalam dunia lakonan tempatan bermula sekitar 1980-an. Antara drama dan filem lakonannya Rimba Malam, Kerana Kau, Tak Ingat dan Getaran. Bakat lakonannya turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan Pelakon Wanita Drama Terbaik pada Anugerah Skrin dan Anugerah Sri Angkasa pada 1994.



Selain itu, beliau juga pernah merangkul trofi Pelakon TV wanita terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian dua kali berturut-turut pada 1995 dan 1996.

Walaupun pernah mengalami pelbagai gelombang sepanjang lebih 20 tahun kariernya, nama Aida masih utuh dalam arena lakonan sehingga kini dan masih menjadi pilihan pengarah tempatan.

Rezeki Aida atau nama sebenarnya, Khalidah Adibah Ahmad,64, semakin murah ketika membuat keputusan untuk berhijab kira-kira lapan tahun lalu.


Ditanya mengenai karier, Aida sebenarnya masih aktif berlakon dan kini menunggu tayangan filem terbaharunya, Hijabsta Ballet.

Memegang watak sebagai Maimun dalam filem tersebut, Aida diberi peranan seorang nenek yang membawa pengaruh hijab kepada penari balet.

“Selain itu, saya akan berlakon dalam sebuah filem arahan pengarah berkaliber, Khabir Bhatia yang bertajuk Pulang. Filem ini sangat menarik kerana ia adalah sebuah kisah benar dua pasangan kekasih.

“Sesi penggambaran Pulang belum lagi diadakan dan mungkin dijalankan pada masa terdekat,” katanya.

Belajar ilmu agama


Selain berlakon, pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan kini mengisi masa terluang dengan mengikuti kelas pengajian agama daripada pelbagai medium.

“Kita kena sentiasa pastikan diri diisi dengan ilmu agama supaya ia menjadi landasan kepada kita untuk mendekatkan diri kepadaNYA. Jadi, sebagai umat Islam, kita perlu belajar ilmu seperti ilmu tasawwuf, fiqh dan pelbagai lagi,” katanya.

Pada setiap malam Isnin, Aida akan ke Wangsa Melawati, Kuala Lumpur bagi menghadiri Usrah Fitrah (UF).


Menurutnya, UF sudah ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu bertujuan memberi peluang kepada artis Malaysia untuk mendalami Islam secara tertutup dan selesa.

“UF sentiasa terbuka menerima kedatangan rakan selebriti tidak kira sudah berhijrah atau masih tercari-cari ruang mendalami agama. Alhamdulillah, saya lihat semakin ramai selebriti yang menghadiri UF,” katanya.

Selain menghadiri UF, Aida turut menghadiri kelas agama yang diadakan di sekitar kawasan kediamannya sebagai salah satu inisiatif lain.

“Saya juga menghadiri kelas membaca Al-Quran bagi mempelajari pembacaan yang betul di masjid Ghuffran, Pinggiran TTDI. Kelas tersebut diadakan pada setiap Rabu dan saya sudah menyertainya sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sekiranya masanya agak padat, Aida akan menonton ceramah yang disiarkan di televisyen.

“Umat Islam wajib mempelajari ilmu berkaitan Islam untuk diisi ke dalam tubuh badan kita sebagai benteng diri. Selain itu, kita tidak boleh belajar agama seorang diri dan sebaliknya, kita perlu belajar agama daripada mereka yang lebih mendalami Islam.

“Jadi, nasihat saya, cuba cari sedikit masa untuk kita menghadiri majlis keagamaan untuk menambah pemahaman kita mengenai Islam,” katanya.

Puji industri hiburan


Dalam pada itu, Aida bersyukur kerana semakin ramai selebriti yang berhijrah kerana sayangkan Islam dan menganggap perkara ini adalah sangat positif.

Namun, beliau berharap artis yang berhijrah untuk menambah ilmu agama supaya mereka mempunyai kefahaman mendalam mengenai Islam.

“Apabila seseorang wanita sudah memakai tudung, ia bukanlah penamat kepadanya kerana sudah menutup aurat. Sebaliknya, kita perlu cari ilmu agama untuk dijadikan panduan dalam hidup,” katanya.

Aida turut mengajak beberapa rakan selebritinya untuk menyertainya menghadiri kelas agama dan ajakannya disambut oleh beberapa orang rakannya.

Ditanya bagaimana untuk menangkis tanggapan segelintir masyarakat yang melihat industri hiburan sebagai industri tidak baik, Aida berkata, setiap artis bertanggungjawab untuk mengubah persepsi tersebut.

“Artis yang beragama Islam perlu bertanggungjawab dengan melakukan kerja-kerja hiburan yang tidak melanggar hukum syarak. Apabila kita buat perkara ini, Insya-ALLAH, tanggapan masyarakat terhadap kita akan semakin positif.

“Selain itu, sekiranya kita berlakon dengan tidak melakukan perkara yang di luar batas, Insya-ALLAH lakonan yang kita buat itu boleh dikira sebagai ibadah,” katanya. - SH Online


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments