Faye Kusairi Dedah Serbuan ‘Khalwat’ Lengkap, Pegawai JAIS Nampak Ibu

Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ternampak ibu beliau di dalam bilik ketika menyerbu rumah keluarganya April lalu, kata pelakon Faye Kusairi.


Faye Kusairi Dedah Serbuan ‘Khalwat’ Lengkap, Pegawai JAIS Nampak Ibu

Beliau menyangkal hasil siasatan dalaman Jais yang menyebut kakitangannya tidak dapat memenuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana gagal memasuki sebuah bilik ketika serbuan.

Unit kondominium dupleks yang didiami ibu bapanya di Bukit Antarabangsa dekat sini diserbu penguatkuasa Jais kira-kira 2 pagi 10 April lalu.

Serbuan itu, termasuk memecah jeriji pintu utama dan mengejutkan adik Faye yang sedang tidur, dibuat bagi menyiasat dakwaan pelakon itu berkhalwat dengan suami orang.

Faye, nama glamor Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, sebelum ini menegaskan beliau tiada di situ pada waktu kejadian kerana bermalam di rumah rakannya.


Dihubungi ProjekMMO hari ini, beliau berkata penguatkuasa Jais dapat melihat kelibat ibunya yang sedang berehat di bilik berkenaan kerana pintunya terbuka sedikit.

“Ibu saya ketika itu sedang tidur kerana tidak sihat. Dia mengalami masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

“Mak saya cakap pegawai berkenaan nampak mak saya ketika tidur. Mereka kata pintu ketika itu terbuka sedikit. Mungkin sebab masa itu mak saya sedang tidur dan tidak berhijab.

“Saya fikir mungkin penguatkuasa ada depan bilik. Bilik kami semua dekat-dekat. [Rumah kami] penthouse dupleks, bukan rumah agam,” katanya.

Pengarah Jais semalam dilaporkan mendedahkan serbuan tersebut tidak dapat mematuhi tatacara sepatutnya kerana dihalang keluarga pelakon tersebut.

Datuk Haris Kasim berkata serbuan itu sudah mengikut SOP kecuali pegawai penguatkuasa Jais gagal memeriksa sebuah bilik.

“Pihak penguatkuasa sudah menjalankan tugas seperti SOP yang sepatutnya.

“Cuma kegagalan mereka memasuki satu bilik atas alasan yang diberi oleh keluarga Faye menyebabkan mereka gagal mematuhi SOP selanjutnya.

“Kalau dari proses perundangan, kesalahan penguatkuasa ialah tidak melengkapkan siasatan dengan mengabaikan siasatan terhadap satu bilik lagi.” katanya kepada ProjekMMO kelmarin.

Difahamkan bapa Faye enggan membenarkan penguatkuasa Jais memeriksa biliknya kerana dibimbangi mengganggu isterinya yang mengidap penyakit darah tinggi. Sumber: Projek MMO


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments