Terkini

Mahkamah Batalkan Saman 102 Pemandu Teksi Terhadap SPAD

Mahkamah Tinggi semalam membatalkan saman oleh 102 pemandu teksi berhubung perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana mereka menggunakan cara yang salah untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap SPAD.


Mahkamah Batalkan Saman 102 Pemandu Teksi Terhadap SPAD

Hakim Datuk Su Geok Yiam berkata plaintif juga gagal mengemukakan kausa tindakan munasabah terhadap SPAD selaku defendan dalam saman itu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan SPAD untuk membatalkan saman difailkan sekumpulan pemandu teksi itu atas dakwaan SPAD gagal mengambil tindakan proaktif dalam mengharamkan aktiviti dan operasi perkhidmatan teksi dalam talian.

“Plaintif seharusnya memulakan tindakan mereka melalui Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 iaitu dengan memfailkan semakan kehakiman bukan melalui writ saman dan pernyataan tuntutan.

“Tuntutan plaintif telah dengan jelasnya tidak boleh dikekalkan kerana Uber, Grabcar dan Blacklane tidak dinamakan sebagai defendan bersama-sama dengan SPAD dalam writ saman meskipun plaintif banyak membuat tohmahan terhadap mereka (Uber, Grabcar dan Blacklane),” katanya, yang turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos RM5,000 kepada defendan.


Mahkamah juga berkata plaintif gagal menunjukkan bahawa mereka mempunyai locus standi untuk mengekalkan tindakan saman itu terhadap SPAD.

Katanya mengikut pernyataan pembelaan SPAD, ia menyatakan telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan penangkapan dan mendakwa individu yang melanggar undang-undang, yang membenarkan kereta mereka digunakan untuk diberikan perkhidmatan kepada orang ramai secara tidak sah.

“Kegagalan plaintif membuktikan butir-butir kecuaian defendan (SPAD) telah memalukannya, memprejudis, mencemar dan menjejaskan reputasi SPAD,” katanya, yang membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan oleh peguam R. Kengadharan, mewakili kesemua pemandu teksi dan peguam Ben Syazmin, mewakili SPAD.

Pada 30 Disember 2015, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin, 51, bersama-sama 101 pemandu teksi memfailkan saman terhadap SPAD.

Mereka antara lain menuntut perintah deklarasi supaya SPAD mengharamkan operasi Uber, Grabcar dan Blacklane, yang merupakan perkhidmatan teksi dalam talian kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Mereka memohon perintah injunksi agar SPAD tidak mengesahkan aktiviti dan operasi ketiga-tiga perkhidmatan teksi dalam talian itu, selain mengeluarkan satu garis panduan dan pekeliling tertakluk kepada persetujuan terma-terma bagi mengharamkan operasi dan aktiviti perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua pemandu teksi itu mendakwa operasi dijalankan Uber, Grabcar dan Blacklane memberi kesan buruk terhadap industri perkhidmatan teksi tempatan kerana kadar tambang perkhidmatan teksi dalam talian itu jauh lebih rendah daripada tambang teksi bermeter.

Mereka mendakwa operasi untuk membanteras ‘kereta sapu’ haram dijalankan SPAD serta Jabatan Pengangkutan Jalan, dilihat tidak berkesan selagi aplikasi ‘penyedia tempahan’ oleh Uber, Grabcar dan Blacklane tidak disekat dan akan mengkucar-kacirkan industri perkhidmatan teksi tempatan.

Plaintif juga mendakwa SPAD gagal dan cuai mengambil tindakan proaktif untuk mengharamkan ketiga-tiga perkhidmatan dalam talian itu, sehingga segala hak dan kepentingan plaintif dipinggirkan oleh SPAD.

Sementara itu, Kengadharan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini.

Lebih 100 pemandu teksi hadir dalam prosiding hari ini. -Bernama


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments