Terkini

Padah Muatnaik Video Sekatan Jalan Polis Dengan Kapsyen ‘Polis Celaka’

Sudahlah membuat rakaman video tugas polis melakukan sekatan jalan raya tanpa kebenaran, selepas itu dimuat naik pula di aplikasi WeChat dengan tajuk menghina pihak berkuasa.


Padah Muatnaik Video Sekatan Jalan Polis Dengan Kapsyen ‘Polis Celaka’

Tindakan kurang bijak seorang remaja lelaki itu akhirnya memakan diri apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Istana Mahkota, Jalan Teluk Cempedak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi, remaja berusia 19 tahun itu ditahan ketika menaiki kereta Proton Satria GTI bersama dua lagi rakannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, suspek sebelum itu dalam perjalanan ke Teluk Cempedak dan ketika melalui sekatan jalan raya itu, dia membuat rakaman video anggota polis melakukan tugas berkenaan pada jam 12.15 tengah malam.


Katanya, seorang anggota polis menegur tindakan suspek dan memintanya memadamkan rakaman dan suspek mohon maaf sebelum berjanji akan memadam rakaman video berkenaan.

“Namun, 45 minit kemudian, anggota terbabit menyedari rakaman video berkenaan sudah dimuat naik suspek menerusi aplikasi WeChat dengan tajuk ‘Polis Celaka’.

“Tidak lama kemudian, kami mengesan kenderaan yang dinaiki suspek berpatah balik dipercayai mahu menuju ke bandar dan melalui sekatan jalan raya yang sama, kami menahan suspek dan merampas telefon bimbit iPhone 6 miliknya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan kandungan telefon bimbit itu, polis menemui rakaman video yang dimuat naik suspek dengan menggunakan nama ‘DecKhai’ di dalam aplikasi berkenaan.

Malah, suspek didapati meninggalkan komen di dalam aplikasi itu dengan menulis ‘aku tampar polis terus lepas’ iaitu merujuk kepada anggota polis yang bertugas melakukan sekatan jalan raya berkenaan.

“Kami menahan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Sumber: Metro

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments