Selepas 3 Bulan, Mana Lebih Laris, Perdana Atau Civic?

Selepas 3 bulan, mana lebih laris, Perdana atau Civic? Dua jenama kereta, masing-masing berharga antara RM113,000 dan RM138,000, dan kedua-duanya dilancarkan selang seminggu.


Selepas 3 Bulan, Mana Lebih Laris, Perdana Atau Civic?

Proton Perdana generasi ke-4 dengan penampilan baharu dilancarkan pada 14 Jun, hanya 5 hari selepas pelancaran Honda Civic Turbo.

Kedua-dua jenama kereta ini boleh dikategorikan dalam kelas yang sama, dengan menumpukan pasaran pengguna yang mahukan lebih daripada sedan biasa, walaupun Honda Civic secara umumnya tergolong dalam kereta “segmen C” dan Perdana pula “segmen D” iaitu kereta bersaiz lebih besar.

FMT cuba membandingkan prestasi jualan kedua-dua kereta ini yang dilancarkan hampir serentak 3 bulan lalu.

Honda Civic

Setakat ini, hampir 4,000 unit Honda Civic Turbo sudah dijual, manakala 6,000 unit ditempah dan menunggu serahan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, pihaknya menyasarkan jualan kira-kira 1,200 unit setiap bulan.

“Masa kami melancarkan Honda Civic Baharu, kami percaya ia akan menjadi pengubah dalam segmen-C.

“Kami percaya bahawa reka bentuk, ciri-ciri serta servis selepas jualan ialah faktor Civic popular dikalangan rakyat Malaysia,” jelas seorang pengawai pengurusan Honda kepada FMT.

Proton Perdana

Bagaimana pula jualan Proton Perdana, modal baru yang diangkat sebagai lambang hasrat baharu syarikat kereta nasional itu memberikan yang terbaik dan lebih nilai untuk wang?

Malangnya, usaha FMT menjawab soalan itu gagal, selepas diberitahu Proton ia tidak dapat mendedahkan statistik jualannya.


Alasan yang diberikan ialah ia belum mendapat kelulusan menyebarnya kepada umum walaupun pada awalnya Proton mensasarkan jualan 3,000 unit menjelang akhir tahun ini.

“Sehingga kini kami masih belum mendapat kelulusan daripada pihak atas untuk dikongsikan (jumlah jualan Proton Perdana),” kata seorang pegawai Proton ketika dihubungi.

Sebelum ini, DRB-Hicom yang memiliki Proton berkata keuntungan daripada perniagaan utamanya iaitu automotif menjunam 21% pada tahun ini, dan antara sebabnya ialah kemerosotan jualan kereta Proton dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Proton sebelum ini didakwa mengalami pelbagai masalah sehingga memaksa kerajaan meluluskan permohonan Proton pada 4 April lalu untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion dalam usaha pemulihan perniagaan syarikat automotif negara itu.


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments