Terkini

TMJ Beri Amaran Kepada Individu Yang Disebut Dalam ‘Pendrive’

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana individu yang disebut dalam ‘pendrive’ kontroversi agar segera berundur daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


TMJ Beri Amaran Kepada Individu Dalam ‘Pendrive’

Beliau menegaskan bakal bertindak mendedahkan identiti individu-individu tersebut sekiranya mereka masih dalam FAM, tahun depan.

“Saya hanya nak nasihat kepada individu-individu tersebut, hanya saya sahaja tahu siapa, tahun depan awak berundur. Kalau awak tak berundur, saya dedahkan semua sekali.

“Jika tidak mahu saya dedahkan, awak berundur dengan cara baik, kita lantik orang baharu yang boleh menjalankan tugas,” katanya melalui petikan video Dialog Bersama Tunku Mahkota Johor yang disiar melalui Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan kandungan ‘pendrive’ didakwa mempunyai bukti penyelewengan yang diterima daripada Tunku Ismail kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, FAM perlu diterajui individu-individu yang benar-benar mampu menjalankan tugas demi bola sepak tanah air.

“Saya hanya mahu individu-individu tidak bertanggungjawab tidak ada di situ lagi. Itu sahaja.


“Apabila pengadil adil, profesional dan badan induk itu juga profesional. Itu cara Johor akan kuasai bola sepak tanah air,” katanya.

Menyentuh soal kandungan ‘pendrive’ itu, Tunku Ismail berkata, ia hanya mengandungi isu-isu teknikal seperti yang sering beliau bangkitkan kepada FAM sebelum ini.

“Saya terima laporan ‘pendrive’ ini dari orang dalam tapi dalam laporan itu sama juga dengan perkara yang saya selalu suarakan kepada FAM…pilih kasih, teknikal, tak ada lah apa-apa berkenaan dengan syarikat membuat duit dan sebagainya.

“Jadi, banyak perkara teknikal seperti jurulatih tidak profesional, banyak pilih kasih, Exco tidak main peranan dan lain-lain perkara teknikal,” katanya. – Sinar Harian

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments