Wanita Dari Klang Disahkan Mangsa Pertama Zika Di Malaysia

Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang, Selangor sebagai sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini menjelaskan bahawa wanita itu kini sedang menerima rawatan rapi di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil.



Difahamkan bahawa wanita tersebut dipercayai telah dijangkiti virus berkenaan ketika melawat anaknya di Singapura pada 18 Ogos yang turut dikesan sebagai positif Zika sebelum ibu malang itu kembali ke Malaysia pada 21 Ogos lalu.

Wanita tersebut telah mengalami simptom-simptom wabak Zika seperti demam dan sakit-sakit sendi.


Walau bagaimanapun, keadaan wanita tersebut tidak membimbangkan dan dijangka bakal pulih dalam tempoh seminggu lagi sebelum dibenarkan keluar dari wad hospital berkenaan setelah benar-benar pulih dari wabak itu.

Memetik laporan Astro Awani, Dr Subramaniam turut menjelaskan bahawa terdapat 5 warga Malaysia yang kini berada di Singapura dikesan positif Zika dan menerima proses rawatan di sana dan dilapor dalam keadaan stabil.

Justeru itu beliau berharap agar seluruh rakyat Malaysia mengambil perhatian tentang penularan wabak berkenaan dan berjaga-jaga supaya dapat menghindar diri dari dijangkiti virus tersebut yang berpunca dari sebaran nyamuk aedes. - Bernama


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments