Gabenor Jakarta Mohon Maaf, Dituduh Persenda Ayat Quran

JAKARTA, 11 Okt — Gabenor Jakarta yang bukan beragama Islam memohon maaf selepas muncul kontroversi beliau didakwa menghina al-Quran dalam kempennya.


Gabenor Jakarta Mohon Maaf, Dituduh Persenda Ayat Quran

Basuki Tjahaja Purnama, popular dipanggil Ahok, didakwa mempermainkan ayat 51 surah al-Maidah, mengenai larangan tidak boleh melantik pemimpin bukan Islam.

“Saya ingin memohon maaf kepada umat Islam atau mereka yang tersinggung. Saya tidak pernah berniat menghina Islam atau al-Quran,” katanya seperti dipetik Jakarta Post.

Pemimpin keturunan Cina dan beragama Kristian itu berkata beberapa dasarnya sejak menjadi gabenor pada 2014 membawa manfaat kepada umat Islam.

Jelasnya, sewaktu berucap di Kepulauan Seribu pada 27 September, penduduk setempat tidak berasa terhina mendengar sindirannya terhadap pihak-pihak yang menyerangnya menggunakan ayat al-Quran tersebut.


“Malah mereka ketawa sewaktu mendengarnya,” kata Ahok seperti dilaporkan semalam.

Video petikan ucapannya yang beredar sejak seminggu lalu digunakan untuk mengecam pemimpin popular itu sewaktu beliau berdepan dengan pencabar terdekatnya Anies Baswedan.

Ahok mengulas kempen berbau perkauman dan agama terhadapnya, termasuk memetik ayat dalam surah tersebut yang melarang orang Islam melantik “Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin”.

Petikan ucapannya itu menimbulkan kontroversi, termasuk diadukan kepada polis kerana dianggap memainkan sentimen agama.

Satu petisyen dalam talian mendesak Ahok membuat permohonan maaf secara terbuka juga diwujudkan. Sehingga Jumaat lalu, kira-kira 60,000 orang menyokong tuntutan itu.

Ahok bersama timbalan gabenor Djarot Saiful Hidayat berdepan dengan Anies, ahli akademik dan bekas menteri, yang bergandingan dengan hartawan republik itu Sandiaga Uno.

Agus Harimurti Yudhoyono, anak bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, dan rakannya Sylviana Murni, birokrat dalam pentadbiran Jakarta, pasangan ketiga dalam pilihan raya merebut jawatan tersebut. - MM Online


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments