Lebih 38 Syarikat Adik-Beradik Terlibat Projek RM3.3 Bilion - SPRM

PETALING JAYA - Lebih 38 syarikat milik adik-beradik kepada dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah disyaki terbabit berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion.


Lebih 38 Syarikat Adik-Beradik Terlibat Projek RM3.3 Bilion - SPRM

Sumber memberitahu, dua suspek berjawatan pengarah dan timbalan pengarah di jabatan itu masing-masing menggunakan lebih 17 dan 21 syarikat milik adik-beradik.

Dalam pada itu, wang tunai yang dirampas kini bertambah sebanyak RM750,000 lagi apabila ia ditemui dalam tiga peti besi milik isteri kepada salah seorang suspek di dua bank.

Baca: Berjuta Wang Disita SPRM Daripada Pegawai Kerajaan Di Sabah

Sumber berkata, jumlah itu tidak termasuk barangan kemas yang belum dianggarkan nilainya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, akaun-akaun suspek di luar negara telah dikenal pasti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan sewajarnya menerusi undang-undang.

Menurut sumber itu lagi, enam saksi yang juga kakitangan syarikat termasuk jabatan terlibat telah dipanggil dan dirakamkan keterangan.

“SPRM telah menubuhkan pasukan khas sejak siasatan kes ini dimulakan tahun lalu melibatkan lebih 70 pegawai.

"Selain itu, suruhanjaya turut mendapat bantuan pihak perundangan untuk memperoleh maklumat berhubung akaun bank yang dimiliki suspek di luar negara,” katanya.

Pada Rabu, dilaporkan jumlah wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua pegawai kanan itu meningkat kepada RM52 juta, selain RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan.

Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, barang kemas dan jam mewah. Ia termasuk 94 beg tangan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM500,000.


Tambah sumber lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti lebih 40 saksi dan akan memanggil 10 saksi yang terlibat secara langsung dalam proses kontraktor, dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, katanya, SPRM akan mengkaji semua dokumen-dokumen berkaitan perolehan jabatan air dan pemilikan harta suspek secara meluas.

“Satu perintah pengisytiharan harta akan dikemukakan kepada suspek di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009,” katanya.

Pada Selasa dilaporkan dua suspek berusia 51 dan 54 tahun ditahan di pejabat masing-masing kira-kira 9.15 pagi Selasa kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka sejak 2010.


Dua lagi individu ditahan pada Rabu, seorang bergelar Datuk yang juga abang kepada timbalan pengarah jabatan itu yang berusia 55 tahun, dan akauntan berusia 50 tahun.

Jumlah harta kekayaan yang dikumpul mencecah RM50 juta hasil penyalahgunaan kuasa yang dipercayai bermula sejak 2010. Sumber: mStar


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments