Terkini

Majlis Raja-Raja Bermesyuarat Untuk Pemilihan Agong Ke-15

KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tiga,kiri) berkenan bergambar selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) di Istana Negara hari ini. Turut berangkat (dari kiri) Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Bernama

Selain Raja Perlis, mesyuarat itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut berangkat ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mesyuarat itu berlangsung selama kira-kira satu jam.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Dis 2011 dan tempoh perkhidmatan baginda akan berakhir pada 12 Disember ini.


Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain, bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran. - Bernama


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments