Militan Serang Akademi Polis, 60 Rekrut Terbunuh

QUETTA: Sekumpulan militan menyerang sebuah akademi polis di sini, membunuh sekurang-kurangnya 61 orang dan menyebabkan puluhan lagi cedera, serangan pelampau antara paling buruk di Pakistan tahun ini.


Militan Serang Akademi Polis, 60 Rekrut Terbunuh

Tiga lelaki anggota kumpulan yang ada hubungan dengan Taliban negara itu menyerang akademi berkenaan, menyasarkan kuarters yang menjadi kediaman kira-kira 700 rekrut.

Ia menyebabkan pelatih muda terbabit bertempiaran lari dalam ketakutan.

“Saya melihat tiga lelaki berceloreng membawa Kalahsnikov. Mereka melepaskan tembakan dan memasuki asrama. Saya dapat menyelamatkan diri dengan memanjat tembok,” kata seorang pelatih.

Serangan terhadap Kolej Polis Baluchistan, kira-kira 20 kilometer dari Quetta, ibu negeri wilayah itu, berlaku kira-kira jam 11.10 malam (2.10 pagi Selasa waktu Malaysia).


Tembak-menembak dilapor berlaku selama beberapa jam. Menteri Dalam Negeri Baluchistan, Sarfariz Bugti mengesahkan keganasan itu dilakukan tiga orang.

“Mereka mulanya menyerang menara tinjau. Selepas berbalas tembak dan membunuh petugas, penyerang itu memasuki kawasan akademi,” katanya.

Jurucakap kerajaan wilayah, Anwarullah Kakar berkata, 61 orang terbunuh dalam serangan itu dan 118 cedera, kebanyakannya mengalami luka ringan.

Keadaan keselamatan di luar akademi itu ditingkatkan pagi semalam dengan media dilarang memasukinya.

Ketua pasukan keselamatan yang mengetuai operasi tindak balas, Mejar Jeneral Sher Afgan berkata, serangan itu berakhir tiga jam selepas pasukannya tiba.

Menurutnya, komunikasi yang dipintas menunjukkan militan itu anggota kumpulan Al-Alimi, sebahagian daripada kumpulan Lashkar-e-Jhangvi yang ada hubungan dengan Taliban Pakistan.

- Harian Metro


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments