Pemandu Teksi Berhimpun Bantah Kerajaan ‘Halalkan’ Uber, Grabcar

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemandu teksi berhimpun di hadapan Parlimen pagi tadi bagi membantah rancangan kerajaan menggubal undang-undang perkhidmatan perkongsian pengangkutan Uber dan Grabcar.


Pemandu Teksi Berhimpun Bantah Kerajaan ‘Halalkan’ Uber, Grabcar

Kira-kira 50 pemandu teksi mula berhimpun pada jam 9 pagi dan menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen yang tiba bagi menghadiri sesi Dewan Rakyat yang bermula hari ini, antaranya Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Kereta Sewa Malaysia Menentang Grabcar dan Uber, Jefri Jaafar Tukeman berkata, memorandum itu menyatakan bantahan mereka terhadap hasrat kerajaan “menghalalkan” perkhidmatan perkongsian pengangkutan itu.

“Kerajaan perlu terlebih dahulu mematuhi undang-undang yang mereka rangka sendiri pada 2010, sebelum membuat rancangan lain,” katanya merujuk Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

Pada 23 April lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan rancangan kerajaan untuk menyelaraskan perkhidmatan Uber dan Grabcar dengan mewajibkan pemandu mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV).


Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dilaporkan berkata, langkah itu akan menyediakan keadaan yang lebih sihat buat pemandu teksi untuk bersaing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan berkata kerajaan tidak sepatutnya tergesa-gesa mewartakan undang-undang bagi Uber dan Grabcar hanya kerana mahu melabur di dalamnya.

“Mengikut maklumat kami, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merancang melabur di dalam salah satu syarikat, sebab itu mereka beria-ria nak buat undang-undang,” katanya dalam sidang media di Parlimen tadi.

The Star Online pada 22 September lalu melaporkan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) membuat pelaburan berjumlah RM124.2juta ke dalam Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat. - FMT


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments