Header Ads

  • Terkini

    Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Diketahui Pada Jumaat Ini

    KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) yang akan bersidang pada Jumaat ini, diadakan bagi memilih Yang di-Pertuan Agong baharu. Sebelum mesyuarat khas itu dijalankan, terlebih dahulu diadakan Mesyuarat Pra-Majlis sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 hari ini diikuti mesyuarat rasmi pada esok dan Khamis.


    Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Diketahui Pada Jumaat Ini
    Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) yang akan bersidang pada Jumaat ini, diadakan bagi memilih Yang di-Pertuan Agong baharu.

    Ketika ini jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan tempoh perkhidmatan Seri Paduka akan berakhir 12 Disember ini.

    Berdasarkan sistem penggiliran yang telah ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

    Walau bagaimanapun jika Sultan Muhammad V menolak pemilihan tersebut, mengikutkan sistem penggiliran, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15.


    Selain itu, terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong;

    1. tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental; 
    2. merupakan raja yang berada di kedudukan teratas; 
    3. mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain dan 
    4. bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

    Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

    Sembilan raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

    Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaannya dalam negara atau kerana keuzuran.

    - Utusan Malaysia


    Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad