Serpihan Sayap Di Mauritius Sah Milik MH370 - Penyiasat Australia

KUALA LUMPUR: Serpihan daripada bahagian sayap kapal terbang yang ditemui di Mauritius pada Mei, sah milik pesawat MAS MH370, kata pihak berkuasa Australia hari ini.


Serpihan Sayap Di Mauritius Sah Milik MH370 - Penyiasat Australia

Bagaimanapun, penemuan itu tidak memberikan petunjuk baharu mengenai lokasi pesawat yang hilang sejak 2 tahun lalu.

Serpihan itu ditemui di pesisiran pantai barat Lautan Hindi.

Pesawat Boeing 777 itu hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Meskipun pencarian bawah laut dilakukan secara besar-besaran di selatan Lautan Hindi sehingga ke pantai Australia barat di mana penyiasat percaya menjadi lokasi pesawat itu terhempas, tidak ada jejak menunjukkan ia ditemui di situ.


Serpihan sayap yang ditemui itu ialah “bahagian hujung kiri Boeing 777 itu, kelepak luar, daripada pesawat Malaysian Airlines yang didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370)”, kata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam satu laporan.

“Sebahagian nombor dikenal pasti pada seksyen di serpihan itu,” kata ATSB yang mengetuai operasi pencarian itu, dan menambah pengeluar meletakkan “nombor arahan kerja unik” pada kelepak itu menunjukkan ia MH370.

Menteri Pengangkutan Australia Darren Chester berkata penyiasat “terus berharap” MH370 akan dapat ditemui.

“Dengan penemuan serpihan ini, mengesahkan fokus usaha pencarian ialah di selatan Lautan Hindi,” kata Chester dalam satu kenyataan.

“Namun, ia tidak memberikan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti lokasi tertentu pesawat itu,” katanya.

Laporan ATSB itu dikeluarkan selepas 2 minggu pegawai agensi itu menyatakan serpihan yang ditemui di Madagascar oleh penyiasat amatur AS Blaine Gibson, masih belum boleh disahkan berasal daripada MH370 atau Boeing 777.

Pegawai juga berkata serpihan ditemui di Madagascar tidak terdedah kepada kebakaran, menolak spekulasi sebelum ini.

Kegagalan untuk mengesan sebarang serpihan di zon pencarian mencetuskan spekulasi yang pesawat itu mungkin terhempas di luar kawasan berkenaan.

Beberapa serpihan dikaitkan dengan pesawat itu ditemui di sepanjang pesisiran pantai barat Lautan Hindi – Mozambique, Afrika Selatan dan Mauritius.

Bahagian yang ditemui di Mauritius ialah yang ketiga disahkan datang daripada MH370. Malaysia pada pertengahan September berkata serpihan ditemui di Tanzania pada Jun lalu milik pesawat malang itu.

Serpihan pertama yang ditemui – bahagian sayap sepanjang 2 meter atau flaperon yang terdampar di kepulauan Reunion di Lautan Hindi, di Perancis pada Julai 2015 – disahkan daripada MH370.

Lebih 110,000 km persegi kawasan pencarian dilakukan setakat ini, dan Australia pada minggu ini berkata, pencarian itu dijangka siap pada Disember.


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments