Terkini

Tulang, Rambut Ditemui Dalam Perut Buaya, Sang Bedal

Samarahan – Perut buaya jantan yang dibelah selepas ditangkap di Sungai Samarahan berdekatan Kampung Pinang, di sini, pagi kelmarin mengandungi tulang dan rambut yang belum dapat dipastikan sama ada ia milik manusia atau haiwan.


Tulang, Rambut Ditemui Dalam Perut Buaya, Sang Bedal

Sang bedal seberat 600 kilogram dan sepanjang 4.4 meter itu ditangkap petugas Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kira-kira jam 10 pagi ketika operasi pemburuan haiwan itu diteruskan.

Jurucakap SFC berkata, reptilia berkenaan ditangkap di sungai berkenaan kira-kira lapan kilometer dari lokasi seorang lelaki dilaporkan hilang bulan lalu.

Menurutnya, sebaik ditangkap, buaya itu dibawa ke tebing sungai sebelum perutnya dibelah, sekali gus membawa kepada penemuan itu.

“Namun masih belum dapat dipastikan sama ada tulang dan rambut itu milik manusia atau haiwan, justeru SFC perlu menyerahkannya kepada forensik untuk diuji di makmal bagi mendapatkan kesahihan statusnya.


“Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar yang digerakkan SFC menggunakan peralatan menangkap buaya yang menggunakan 13 cangkuk dalam operasi berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jurucakap itu berkata, operasi pemburuan buaya di Sungai Samarahan itu akan diteruskan kerana masih terdapat buaya dengan saiz yang besar dan berbahaya kepada manusia.

Katanya, pemantauan berterusan juga akan dijalankan SFC di sungai berkenaan dalam usaha untuk mengurangkan kebimbangan penduduk terhadap serangan reptilia berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua lelaki dipercayai dibaham buaya dengan sebahagian daripada tubuh seorang mangsa ditemui manakala seorang lagi gagal dikesan sehingga kini. – Harian Metro


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments