Wartawan Dedah Pentagon Buat Video Palsu Pengganas Iraq, Al-Qaeda

LONDON, 2 Muharram 1438H, Isnin – Biro Kewartawanan Penyiasatan mendedahkan bagaimana Pentagon membayar sebuah firma perhubungan awam United Kingdom AS$660 juta untuk membuat video palsu pengganas di Iraq dalam kempen propaganda mereka.


Wartawan Dedah Pentagon Buat Video Palsu Pengganas Di Iraq, Al-Qaeda

Firma perhubungan awam Bell Pottinger, terkenal dengan pelbagai pelanggan kontroversi, termasuk kerajaan Arab Saudi dan yayasan diktator Chile, Augusto Pinochet , bekerjasama dengan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk mencipta propaganda dalam satu operasi rahsia.

Menurut biro berkenaan, firma perhubungan itu melaporkan kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA), Majlis Keselamatan Negara dan Pentagon mengenai projek rahsia itu bertujuan memberi gambaran negatif terhadap Al-Qaeda dan mengesan mereka yang bersimpati dengan kumpulan itu.

Rumah Putih dan Jeneral David Petraeus, bekas jeneral yang berkongsi maklumat sulit dengan wanita simpanannya, menandatangani laporan agensi berkenaan.

Wartawan Dedah Pentagon Buat Video Palsu Pengganas Di Iraq, Al-Qaeda

Bell Pottinger yang memulakan operasinya sebaik saja AS menceroboh Iraq, ditugaskan untuk menggalakkan ‘pilihan raya demokrasi’ kepada pemerintah sebelum memulakan operasi psikologi dan maklumat yang lebih besar.

Bekas pekerjanya, Martin Wells memberitahu biro wartawan yang berpangkalan di London itu, bagaimana beliau mula bertugas di Iraq sebagai editor video bagi Bell Pottinger. Dalam tempoh 48 jam berada di Baghdad dia ditugaskan menyunting video bagi operasi rahsia psikologi di Kem Victory.

Firma itu mencipta iklan televisyen yang menunjukkan sisi negatif Al-Qaeda, selain mewujudkan kandungan lain untuk dilihat kononnya datang daripada ‘TV Arab’. Kakitangan dihantar untuk merakam serangan bom menggunakan video berkualiti rendah. Firma itu kemudian menyuntingnya untuk kelihatan sebagai bahan berita.

Mereka akan mencipta skrip untuk ‘opera’ di mana karakternya dengan megah menunjukkan kegembiraan akan menolak keganasan.

Firma itu juga mencipta video palsu propaganda Al-Qaeda, dan meletakkannya di rumah yang diserbu oleh tentera AS. Pekerja diberi arahan spesifik untuk mencipta video itu.


“Kita perlu membuat video itu dengan cara ini dan menggunakan rakaman Al-Qaeda. Kami perlu menyediakan video 10 minit, melakukan dalam format fail tertentu,” kata Wells.

Klip video direka itu dalam format Real Player yang memerlukan rangkaian internet untuk memainkannya. Cakera padat dimasukkan kod menghubungkannya dengan Google Analytics yang membolehkan pihak tentera mengesan alamat IP video itu dimainkan.

Menurut Wells, klip video itu ditonton di Iran, Syria dan AS.

“Jika 48 jam atau seminggu kemudian ia ditonton di negara lain, maka ia menjadi semakin menarik. Itu yang mereka kehendaki kerana akan memberi lebih banyak jejak,” katanya.

Pentagon mengesahkan firma perhubungan awam itu bertugas dengan mereka dalam Pasukan Petugas Operasi Maklumat bagi mewujudkan kandungan yang mereka kata ‘boleh dipercayai’. Firma itu juga menganggotai Pasukan Petugas Bersama Gerak Saraf, tetapi Pentagon enggan mengulas mengenainya.

Undang-undang AS melarang kerajaan menggunakan propaganda oleh dan kepada rakyatnya, dan kerana itu mereka mengupah firma asing.

Biro Siasatan Kewartawanan juga mendedahkan dokumen menunjukkan Pentagon membayar AS$540 juta kepada Bell Pottinger bagi memenuhi kontrak antara 2007 hingga 2011 dan satu lagi kontrak bernilai AS$120 juta pada 2006. Firma itu menamatkan kontrak dengan Pentagon pada 2011.

Pada 2009, ada laporan mengatakan Pentagon mengupah firma perhubungan kontroversi, The Rendon Group, untuk memantau laporan berita wartawan yang dibawa oleh tentera AS, bagi menilai sama ada AS diberi laporan positif mengenai misi mereka. – Agensi


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments