‘Menggigil Angkat Bayi Menangis Dalam Semak’

TAMBUN: “Menggigil tangan saya angkat bayi yang masih melekat bersama urinya dalam keadaan sejuk tanpa sebarang pakaian,” kata seorang suri rumah, Nur Amira Zulkifli, 21, yang menemui bayi lelaki malang itu di Taman Perpaduan di sini, awal pagi kelmarin.


‘Menggigil Angkat Bayi Menangis Dalam Semak’
Kawasan semak di belakang sebuah rumah kosong di Taman Perpaduan di mana bayi berkenaan ditemui. Gambar kecil: Kesan tanah menutupi bayi malang itu kerana keadaannya tertiarap ketika ditemui Nur Amira. Gambar: Sinar Harian

Menurutnya, dia menemui bayi berkenaan dalam keadaan tertiarap dengan uri membengkak dan badan hampir biru akibat kesejukan kerana lama berada di kawasan semak di rumah kosong bersebelahan dengan rumah ibunya itu.

“Saya mula dengar suara halus itu kira-kira jam 11 malam dan menyangka ia bunyi kucing. Namun, kira-kira jam 1 pagi, suami (Muhammad Iskandar Johari, 21) pula rasa lapar dan minta saya masakkan sesuatu.

“Ketika berada di dapur, saya dengar tangisan makin kuat. Semua ahli keluarga bangun dan mencari arah suara berkenaan dan menemui bayi itu di kawasan semak bahagian belakang rumah jiran yang telah kosong,” katanya.

Nur Amira berkata, dia sayu melihat muka bayi penuh dengan tanah, bagaimanapun bersyukur bayi berkenaan masih bernyawa ketika ditemui.

“Suami terus bersihkannya sebelum dibawa ke Balai Polis Tambun untuk membuat laporan. Sepanjang dalam dakapan saya, bayi ini baik, tidak menangis langsung.


“Cumanya dia menangis mungkin kerana kelaparan, kami bagi air masak dengan menggunakan hujung tuala,” katanya.

Katanya, Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Kami semua sayang bayi itu walaupun sekejap saja dapat mendakapnya.

"Hasrat hati, nak lihat bayi berkenaan sebelum pulang ke Kuantan kerana suami bertugas di sana, tetapi pihak hospital tidak benarkan. Sedih juga hingga menangis sebab nak lihat dia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan itu dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung penemuan bayi itu.

“Bayi berkenaan disahkan stabil dan masih di bawah pemerhatian pihak hospital.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. --Sinar Harian


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments