Header Ads

  • Terkini

    6 Maut, Pemandu MPV Minta Maaf, Tak Sanggup Lihat Jenazah Mangsa

    “MINTA maaf. Minta maaf. Saya minta maaf sangat-sangat.” Hanya itu yang mampu diucap berulang kali oleh seorang guru, Ahmad Nasal Abd Rahman, 52, dari katil hospital di Kemaman.


    6 Maut, Pemandu MPV Minta Maaf, Tak Sanggup Lihat Jenazah Mangsa

    Ahmad Nasal adalah orang yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dan hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan terlanggar tiang jambatan, dalam kemalangan ngeri di Kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT 2), Ahad.

    Enam orang, termasuk tiga kanak-kanak maut dalam kemalangan tersebut. Lelaki itu, yang hanya menangis tidak dapat memaafkan dirinya terhadap apa yang telah berlaku.

    Antara yang maut adalah isterinya, Mahani Ngah, 42, anak perempuannya, Quratulnisa, 11, dan anak lelakinya Ahmad Nijat, sembilan tahun.


    Turut terkorban adalah abangnya, Ahmad Razi, 63, kakak iparnya, Pauziyah Awang, 56, dan cucu mereka, Sofea Adriana Shahruddin, tujuh tahun.

    Ahmad Nasal mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kemaman bersama tiga anaknya, Quratul Ain, 14, Ahmad Shakir, 12, dan Ahmad Mukriz, tiga tahun yang mengalami cedera parah.

    Mereka semua kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.
    “Saya telah berjumpa dengan Ahmad Nasal untuk bertanya sama ada dia mahu melihat mayat isteri dan anak-anaknya sebelum dikebumikan pagi semalam.

    “Dia hanya terus menangis dan berkata ‘saya minta maaf, minta maaf’ dan berkata dia tidak sanggup membawa dirinya melihat ahli keluarganya yang sudah tiada,” kata adik ipar Mahani, Mohd Aziruddin Majid, Isnin.

    Sementara itu bapa Mahani, Ngah Omar, 73, seorang pesara TNB berkata apa yang ditakuti selama ini telah pun berlaku.

    “Dunia saya gelap apabila mendengar berita ini. Tetapi apa lagi yang mampu kami lakukan jika ini adalah nasib yang sudah ditentukan.

    “Pada malam itu, ketika sedang menonton berita, kami mendapat tahu tentang kemalangan itu yang mengorbankan enam nyawa. Saya beritahu isteri saya, minta mana-mana ahli keluarga kami dijauhkan dari tragedi seperti itu.

    “Tak terlintas dalam fikiran bahawa kemalangan itu melibatkan anak perempuan, cucu dan ahli keluarga saya yang lain. 15 minit kemudian, seorang saudara datang ke rumah untuk beritahu apa yang telah berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Guling di sini, Isnin, sebelum jenazah anaknya, Mahani dan dua cucunya dikebumikan.

    Ngah berkata beliau telah bercakap dengan Mahani pada Sabtu dan anaknya itu memaklumkan bahawa beliau akan tiba pada Isnin atau Selasa, selepas menghadiri satu majlis di Shah Alam.

    “Saya tidak pernah membayangkan bahawa dia akan tiba dengan kain kafan seperti ini,” katanya.

    Seorang lagi abang ipar kepada Mahani, Ali Embong, 52, berkata, beliau sempat melihat gambar-gambar kemalangan itu di kumpulan WhatsApp kira-kira pukul 7 malam.

    “Seperti biasa, saya menerima banyak gambar melalui kumpulan WhatsApp, tetapi sama sekali tidak terlintas ia melibatkan keluarga saya.

    “Apabila saya pulang dari masjid selepas solat Isyak, isteri saya beritahu saya tentang berita itu. Gambar kenderaan di kumpulan WhatsApp itu adalah milik ahli keluarga saya sendiri,” katanya.

    Kedua-dua keluarga itu dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk bercuti dari Shah Alam, apabila Ahmad Nasal hilang kawalan kenderaan selepas tayar kiri bahagian hadapan meletup.

    Kenderaan itu kemudian merempuh pembahagi lebuh raya sebelum berpusing dan merempuh tiang jambatan.

    Difahamkan, mereka sebelum itu telah menghadiri satu majlis Aqiqah di Felda Jengka di Pahang dan sedang dalam perjalanan untuk bertemu cucu Ahmad Razi yang sedang belajar di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat Kuala Terengganu.

    Pada Isnin, Mahani dan dua anaknya, Quratulnisa dan Ahmad Nijat telah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Guling kira-kira pukul 10.30 pagi.

    Ahmad Razi, isterinya, Pauziyah dan cucu mereka Sofea telah dikebumikan di tanah perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.

    Sumber: Mstar


    Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad