Terkini


Anak Soekarno Didakwa Cuba Jatuhkan Kerajaan Dalam Demo Anti-AHOK

JAKARTA ― Polis hari ini mengesahkan Rachmawati Soekarnoputri, adik bekas presiden Megawati Soekarnoputri, antara tujuh individu ditahan kerana mempunyai pakatan menjatuhkan kerajaan.


Anak Soekarno Didakwa Cuba Jatuhkan Kerajaan Dalam Demo Anti-AHOK

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata tujuh individu disiasat di bawah perbuatan “makar” dalam bahasa Indonesia itu, antara 10 ditahan dalam operasi khas bersempena perhimpunan “Aksi Damai 2 Dis”, semalam.

Selain anak presiden pertama Indonesia itu, enam lagi individu disiasat dalam tuduhan makar itu ialah aktivis masyarakat Kivlan Zein, Adityawarman Thahar, Ratna Sarumpaet, Firza Huzein, Eko Santjojo dan Alvin Indra.

“Mereka ditahan di tempat berasingan termasuk di rumah dan hotel terkemuka pagi semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Artis popular Ahmad Dhani pula ditahan bagi siasatan menghina lambang negara iaitu menghina presiden manakala dua lagi individu ditahan di bawah Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE) kerana menghasut dan menimbulkan isu perkauman dalam media sosial.


“Tujuh daripada mereka termasuk Rachmawati dan Ahmad Dhani telah dibebaskan kerana memberi kerjasama membantu siasatan manakala tiga lagi masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang dibebaskan itu akan tetap disiasat dan polis mempunyai beberapa bukti mengenai kegiatan mereka setelah memantau selama lebih enam bulan.

Mereka dipercayai cuba memanfaatkan perhimpunan umat Islam yang membantah penyandang Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama pada 4 Nov lepas dan perhimpunan susulan dikenali sebagai “Aksi Damai 2 Dis”.

Semalam, ratusan ribu umat Islam berhimpun di ibu kota bagi menyertai Aksi Damai 2 Dis dan peserta kemudiannya menunaikan solat Jumaat di perkarangan Monumen Nasional (Monas).

Jemaah solat Jumaat itu melimpah sehingga sepanjang Jalan Thamrin, Tanah Abang dan sekitar laluan menuju ke Monas. ― Bernama


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments