Terkini


Belum Mati Lagi, Tapi Waris Dah Kecoh Berebut Harta...

“MUAK” dengan kerenah ahli keluarga yang dianggap sebagai "gila harta", seorang doktor berkongsi pengalamannya di laman sosial Facebook menerusi akaun Hana Hadzrami, baru-baru ini.



Hana yang merupakan seorang doktor mendakwa berlaku pergaduhan kecil di hospital tempatnya bekerja baru-baru ini apabila ahli keluarga pesakit bergaduh.

Menurutnya, isteri pesakit berebut dengan adik beradik pesakit berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bukannya berebut untuk menjaga pesakit.

“Pelik juga orang tu belum lagi meninggal, tetapi dah berkerumun yang menunggu hartanya. Bil hospital bukan banyak mana pun sampai perlu keluarkan EPF; maksimum bil masuk ICU baru RM500.

“Betullah kata orang, kalau nak lihat perangai sebenar manusia (termasuk ahli keluarga); uji dia dengan duit dan harta. Yang berketayap pun boleh terangkat kopiahnya!” tulisnya.

Hana berkata, lebih teruk lagi apabila ada ahli keluarga yang sanggup ‘curi-curi’ mengambil cap jari pesakit yang sedang tenat semata-mata untuk mengeluarkan duit akaun atau tukar nama harta.

“Kami ini bukan saja pegang amanah nyawa, malah pegang amanah harta pesakit juga!! Dunia oh dunia!!!” tulisnya.

Jelasnya, kisah membabitkan seorang guru yang menghidap penyakit kanser payudara adalah pengalaman tidak dapat dilupakan.

Menurutnya, guru wanita tersebut mahu menjalankan rawatan di hospital mengikut saranan doktor namun dihalang suaminya.

“Patuh suami punya pasal, dia jalani rawatan secara tradisional saja. Dia meninggal dunia beberapa bulan kemudian dalam keadaan sangat terseksa.


“Beberapa hari selepas itu, tersenyum simpul si suami datang ke sekolah isteri untuk menguruskan wang pencen.  Patutlah beriya dia menghalang, ada udang disebalik batu rupanya!!” katanya.

Namun tidak semua kisah cinta adalah palsu kerana 10 tahun lalu, Hana menjadi saksi kepada kisah cinta suci seorang suami yang menjaga isterinya sedang tenat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Setiap hari, tak pernah tak datang melawat walaupun sentiasa nampak tergesa-gesa. Bila ditanya, rupanya ada anak kecil mereka berusia 3 tahun yang terpaksa dia tinggalkan begitu saja di rumah, setiap kali melawat isteri. Ditinggalkan anak itu berbekalkan makanan secukupnya dengan tawakal penuh didada.

“Tiada sesiapa yang boleh diupah untuk menjaga anaknya kerana dia dah tak bekerja semenjak isterinya jatuh sakit. Nak harapkan keluarga, dia dah dibuang oleh keluarganya kerana bertukar agama sejurus berkahwin dengan wanita pilihannya.  Menitik air mata mendengar kisahnya.  Itulah kehidupan,” katanya.

Hana berpendapat adalah lebih baik tidak berharta daripada menyaksikan sendiri perangai buruk orang yang disayangi berebutkan harta.

Perkongsian doktor ini mendapat reaksi baik daripada netizen yang rata-ratanya menganggap situasi yang diceritakan adalah lumrah kehidupan pada masa kini. - Sumber: Hana Hadzrami


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments