Terkini


Enam Sekeluarga Maut Dikurung Perompak Dalam Tandas

JAKARTA: Enam sekeluarga maut setelah dikurung sehari semalam bersama 5 lagi yang terselamat dalam sebuah bilik air kecil di sebuah rumah di Pulomas Utara, Pulogadung, Jakarta Timur di sini.


Enam Sekeluarga Maut Dikurung Perompak Dalam Tandas

Enam mangsa termasuk 2 kanak-kanak itu dipercayai meninggal dunia awal pagi tadi akibat sesak nafas kerana kekurangan oksigen setelah dikurung sejak pagi semalam dalam bilik air seluas 1.5 X 1.5 meter itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Residen Jakarta Timur Sapta Maulana berkata semua yang maut dan selamat itu ditemui setelah polis menerima laporan mengenai kejadian itu pagi tadi.

“Semuanya 11 orang dikurung perompak dalam bilik air yang kecil dan pintu bilik air itu dikunci dari luar sejak Isnin,” katanya seperti yang dipetik media dalam talian tempatan hari ini.

Beliau berkata kejadian itu hanya disedari hari ini oleh salah seorang saudara perempuan mereka yang mengunjungi rumah berkenaan pagi tadi.

Katanya, seorang saudara mereka bernama Sheila Putri yang secara kebetulan mengunjungi rumah itu pada kira-kira 10 pagi tadi terkejut apabila pintu pagar dan pintu rumah berkenaan didapati terbuka luas dan apabila memasuki rumah itu terdengar suara orang menjerit meminta tolong.


Sheila terus menghubungi polis meminta bantuan dan sebaik polis membuka pintu bilik air itu, 6 daripada mangsa ditemui meninggal dunia.

Lima lagi dikejarkan ke hospital kerana lemah serta mengalami luka melecet akibat terpaksa berhimpit dalam bilik air itu.

Katanya, mereka yang maut itu ialah pemilik yang juga arkitek dikenali sebagai Dodi Triono, 59; 2 anak perempuannya Diona Arika Andra Putri, 16; dan Dianita Gemma Dzalfayla, 9; 2 pemandunya berumur 40-an; dan seorang lelaki dipercayai anak kepada seorang teman Dodi.

Mereka yang cedera dan dimasukkan ke hospital ialah wanita dikenali sebagai Emi berumur 41 tahun, seorang lagi anak perempuan Dodi, Zanette Kalila Aazaria, 13, dan 3 pembantu rumahnya Fitriyanim, Windy dan Santi berumur antara 22 dan 23 tahun.

Polis setakat ini belum mengesahkan barangan yang telah dirompak dan masih meneruskan siasatan serta mengumpul beberapa bahan bukti.

Sumber: FMT

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments