Terkini


Wartawan Rohingya Tubuh Portal Berita Sebar Maklumat Sahih Di Rakhine

KUALA LUMPUR: Sekumpulan wartawan Rohingya di Malaysia menubuhkan sebuah portal berita bagi melawan propaganda media Myanmar, dan berazam memberikan maklumat tepat mengenai perkembangan di wilayah bergolak Rakhine, Myanmar.


Wartawan Rohingya Tubuh Portal Berita Sebar Maklumat Sahih Di Rakhine

Dengan tenaga kerja 10 wartawan dan jurukamera, Rohingya Vision (RVision) kini giat melaporkan perkembangan dari Myanmar dalam 3 bahasa, Inggeris, Arab dan Myanmar, melalui Internet.

Kunjungan FMT ke pejabat di Ampang mendapati ia bukan sekadar aktiviti atas talian sekumpulan aktivis, tetapi portal berita berkenaan dijalankan secara profesional, lengkap dengan sebuah studio berita dan peralatan canggih seperti digunakan stesen penyiaran.

Pengarah Urusannya, Muhammad Noor berkata, idea menubuhkan portal berita untuk etniknya tercetus ekoran ketidakadilan laporan media di Myanmar dan negara lain dalam menyalurkan maklumat sahih pada 2012.

“Rohingya di Arakan (Rakhine) tidak diberikan perhatian secukupnya oleh media dan dunia. Ia ekoran tindakan kerajaan tidak membenarkan orang luar memasuki kawasan di Myanmar dan bercerita mengenainya.

“Pada 2012, apabila berlaku pembunuhan beribu-ribu orang, ratusan rumah dibakar, kerajaan berbohong kepada komuniti antarabangsa dan media dengan menyatakan Rohingya membakar rumah sendiri dan melarikan diri untuk mendapatkan perhatian media. Ia salah dan tidak benar,” katanya.


Sehubungan itu, katanya, RVision berikrar menjadi wadah etnik Rohingya untuk menangkis maklumat tidak tepat yang disampaikan media kerajaan Myanmar berhubung etnik itu.

“Kami di sini untuk sampaikan suara Rohingya. Harus kita ingat, media yang dikawal kerajaan sentiasa berbohong. Mereka hanya katakan 100 atau 89 Rohingya yang mati, tetapi sebenarnya ramai yang mati.

“Kemudian, mereka kata hanya beberapa orang sahaja yang cedera, tetapi ia tidak benar. Jadi untuk mereka (media kawalan) kerajaan, akan ada halangan (untuk sampaikan kebenaran). Jadi, di situlah RVision akan ada,” katanya.

Beliau bersyukur masalah dana berjaya diatasi dengan sumbangan dan tajaan beberapa delegasi etnik Rohingya.


“Ketika ini, kami tidak mendapat sebarang sokongan daripada NGO atau mana-mana pihak (dari Malaysia), kecuali kerjasama pihak berkuasa tempatan, namun bukanlah dari segi kewangan,” katanya sambil menambah kerajaan Myanmar cuba menyekat portal itu disebabkan RVision lantang membela etnik Rohingya.

“Kerajaan Myanmar sentiasa cuba menyekat Facebook, YouTube dan saluran portal berita kami. Ia supaya kami tidak menghantar mesej mengenai Rohingya ke seluruh dunia,” katanya.

Pengarang RVsion, M S Anwar mengakui, wartawannya berdepan risiko ketika membuat liputan di Rakhine, termasuk mungkin ditahan pihak berkuasa Myanmar.

“Kami ada koresponden di sana, jika apa-apa berlaku, mereka akan hantar menerusi Internet dan kami akan lihat di sini (Malaysia) dan sunting. Jika ada pihak keselamatan mengetahui mereka menghantar berita, mereka akan ditahan.

“Saya akan periksa kesahihan laporan berkenaan menerusi sumber kami dan barulah kami akan siarkan berita itu.”

Wartawan dan pembaca berita Rvision, Ajmeer berkata, beliau terpaksa belajar selok-belok kewartawanan kerana bukan graduan bidang itu.

“Secara profesionalnya kami bukan wartawan sebenar, kami daripada pelbagai latar belakang, seperti saya yang belajar di Malaysia dalam jurusan perniagaan.

“Inilah keperluan utama masyarakat kami. Kami ada saudara mara dan jiran-jiran di sana (Myanmar) yang akan bercakap menerusi telefon dan di situlah kami dapatkan maklumat,” katanya.

Seorang lagi wartawan, Tahmina Sharmin mengakui berdepan cabaran ketika menjalankan tugas, namun beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memperjuangkan nasib Rohingya di Myanmar.

“Mula menyertai RVision sejak 2 tahun lalu, pada awalnya memang susah untuk menjadi penyampai berita dan sampaikan maklumat kepada masyarakat kami. Tetapi kami cuba sebaik mungkin,” katanya.

RVision yang ditubuhkan pada Jun 2012 kini mempunyai 40,934 “like” di Facebook dengan langganan 42,947 pengguna YouTube di saluran portal berkenaan.


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments