Header Ads

  • Terkini

    “Bukan Penganjur Pesta Bunga Api”, Polis Nafi Dakwaan MPK

    KLANG, 3 Jan — Polis menafikan dakwaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mengatakan mereka terlibat dalam penganjuran program Fiesta Gegar Klang 2016.



    Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata pihaknya hanya hadir mesyuarat sekali sahaja pada 24 November lalu bersama penganjur, lapor Utusan Malaysia.

    “Saya menafikan kenyataan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), tidak benar sama sekali,” kata ACP Alzafny Ahmad dalam kenyataan malam tadi.

    YDP MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin semalam dilaporkan berkata pihaknya tidak memohon permit untuk pertunjukan bunga api kerana pihak polis terlibat sama dalam anjuran tersebut.

    Katanya polis sepatutnya melarang MPK daripada meneruskan acara di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, sekiranya tidak memiliki permit.


    “Kita tidak memohon permit kerana dalam jawatankuasa penganjuran Fiesta Gegar Klang ini, pihak polis terlibat sekali, sepatutnya perkara seperti ini (soal permit) perlu dimaklumkan awal oleh pihak mereka,” katanya.

    Sambutan Tahun Baru 2017 bertukar tragedi apabila 14 pengunjung cedera terkena percikan bunga api yang meletup di kawasan tanah rata menyebabkan orang ramai lari lintang-pukang.

    Alzafny berkata menjadi tanggungjawab polis mengawal keselamatan bagi setiap program yang melibatkan penyertaan orang ramai.


    “Memandangkan penganjur tidak membuat permohonan permit, merujuk atau meminta sebarang pandangan atau nasihat daripada polis bagi mengadakan pertunjukkan bunga api di dalam program tersebut, maka kami beranggapan bahawa pertunjukkan bunga api telah dibatalkan  dan penugasan polis hanya memberi tumpuan terhadap kawalan keselamatan orang ramai.

    “Sehubungan itu, kami berharap kenyataan ini dapat menjelaskan persoalan yang ditimbulkan dalam laporan akhbar,” katanya.


    Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad