Terkini


Siapakah Bakal Pengganti Allahyarham Tan Sri Adenan Satem?

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Ketika Sarawak masih berdukacita dengan pemergian ketua menterinya yang dikasihi rakyat Tan Sri Adenan Satem, tumpuan kini beralih kepada siapakah bakal menjadi penggantinya.


Siapakah Bakal Pengganti Adenan Satem?

Benar, rakyat masih terkejut dengan pemergian mengejut Adenan yang lebih dikenali sebagai “Tok Nan,” pemimpin kesayangan mereka, namun persoalan mengenai siapa yang akan menggantikan beliau pasti bermain dalam fikiran mereka sekarang.

Adenan, yang dilantik sebagai ketua menteri kelima bagi negeri itu pada 28 Feb 2014, meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan kelmarin.

Beliau akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 27 Jan ini.

Menurut penganalisis politik, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) - yang merupakan tonggak bagi Barisan Nasional — yang menerajui kerajaan negeri — mempunyai kata putus mengenai pelantikan ketua menteri seterusnya.

Adenan menjadi Presiden PBB, yang mempunyai 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala parti-parti komponen BN lain pula mempunyai sejumlah 32 kerusi.

Semalam, ketika ditanya pemberita sama ada pemangku ketua menteri akan dilantik, Timbalan Ketua Menteri (TKM) Datuk Amar Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri akan beroperasi seperti biasa dan buat masa ini akan memberi tumpuan kepada penghormatan terakhir kepada Adenan selayaknya.

Kerajaan Sarawak mengumumkan tempoh berkabung tujuh hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang dan semua majlis negeri ditangguhkan sebagai menghormati pemergian beliau.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata memandangkan kaukus PBB diberi kuasa untuk memilih Ketua Menteri, mesyuaratnya pasti dinanti-nantikan.

“Saya jangka kaukus akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini selepas tempoh (tujuh hari) berkabung (Adenan).

“Tiada cara lain untuk memilih Ketua Menteri baharu kerana sistem ini telah termaktub dalam perlembagaan parti itu sejak 2002. Malah, Adenan juga dipilih melalui sistem kaukus parti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kaukus PBB, yang terdiri daripada kesemua wakil rakyatnya (Anggota-anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) serta senator, memainkan peranan yang penting dalam pemilihan calon untuk jawatan eksekutif tertinggi kerajaan negeri itu.

Sistem kaukus adalah sama dengan yang diamalkan oleh parti-parti politik utama di negara-negara maju seperti Kanada dan New Zealand. Di bawah sistem kaukus yang diamalkan oleh PBB, sesiapa yang dipilih sebagai Ketua Menteri akan secara automatik dilantik sebagai presiden parti dan pengerusi kaukus.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa pemilihan calon tidak bergantung kepada hierarki parti.

Pada masa ini, jawatan tertinggi mengikut hierarki dalam PBB terdiri daripada timbalan presiden parti iaitu Abang Johari, dan naib presiden Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Tan Sri Dr Alfred Jabu juga adalah timbalan presiden PBB tetapi beliau tidak bertanding pada pilihan raya negeri April lalu, menyebabkan namanya terkeluar daripada senarai calon berpotensi untuk jawatan ketua menteri.

Sarawak mempunyai tiga TKM, dua daripadanya adalah Abang Johari dan Uggah.

Seorang lagi ialah Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), parti komponen kedua terbesar BN di negeri itu.

Jeniri berkata apabila Adenan dipilih sebagai pengganti kepada Tun Abdul Taib Mahmud pada 2014, Adenan tidak memegang sebarang jawatan penting dalam PBB.

Walaupun tiada siapa yang dapat meramalkan bagaimana ahli-ahli kaukus akan memilih pemimpin mereka seterusnya, Jeniri berkata berdasarkan pemerhatian beliau, aspek-aspek pengalaman dan tempoh perkhidmatan berkemungkinan menjadi kriteria pemilihan.

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, percaya bahawa dalam tempoh beberapa hari lagi, pemangku pengerusi kaukus akan dilantik, yang kemudian akan mengatur mesyuarat kaukus untuk memilih ketua menteri seterusnya.

“Dan, setelah kaukus bermesyuarat dan memutuskan nama Ketua Menteri baharu, pemangku pengerusi memaklumkan pemimpin negeri (Taib),” katanya.

Ditanya, bila ketua menteri baharu itu mungkin diplih, Awang Azman berkata segalanya bergantung kepada tarikh berlangsungnya mesyuarat kaukus itu.

“Ia mungkin berlaku sebaik sahaja tamat tempoh berkabung atau selepas pilihan raya kecil (DUN Tanjung Datu yang baru kosong),” katanya.

Walaupun Adenan tidak pernah menyatakan secara terbuka mengenai penggantinya kelak, terdapat desas-desus bahawa beliau sudah memikirkan mengenai penggantinya ketika menyenaraikan barisan tiga orang TKM.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Suffian Mansor berkata ia dapat dilihat daripada barisan penyandang di mana dua daripada mereka — Abang Johari dan Uggah — adalah daripada parti PBB.

“Selepas pilihan raya negeri (April lepas), Adenan memberikan beberapa petunjuk apabila beliau mewujudkan tiga jawatan timbalan ketua menteri, satu daripada dipegang oleh Abang Johari. Sama ada kaukus akan memberi perhatian terhadap bayangan itu atau sebaliknya, tiada siapa yang tahu tetapi ia hanya pandangan saya.

“Tetapi saya fikir anggota kaukus akan mengkaji siapa yang lebih senior dalam tempoh perkhidmatan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Suffian, kedua-dua calon utama untuk jawatan ketua menteri adalah Abang Johari dan Awang Tengah.


“Walaupun Awang Tengah bukan Timbalan Ketua Menteri, dia adalah seorang menteri kanan negeri dan Naib Presiden Kanan PBB. Saya percaya bahawa parti dan Adenan telah mempunyai rancangan mengenai penggantinya selepas pilihan raya negeri tahun lepas,” kata beliau.

Seorang bekas pemimpin parti komponen BN negeri, yang enggan dikenali, menyatakan pandangan yang sama. Beliau berkata hakikat bahawa Adenan telah melantik Abang Johari sebagai seorang daripada tiga TKM mencerminkan bahawa beliau mempunyai pengganti berpotensi dalam fikirannya.

“Tidak masuk akal jika ia (pelantikan) tidak berkaitan dengan bakal pengganti,” kata beliau dan menambah kata bahawa secara tradisi, jawatan timbalan ketua menteri pertama telah diperuntukkan kepada pihak Pesaka dalam PBB kerana berlaku perkongsian kuasa dalam parti, yang ditubuhkan berikutan penggabungan Parti Pesaka (Dayak) dan Parti Bumiputera (Melayu Bumiputera/ Melanau) pada 1970-an.

Apabila Adenan mengumumkan barisan Kabinet Sarawak pada Mei tahun lepas, Uggah disenaraikan sebagai TKM 1, Masing TKM 2 dan Abang Johari, TKM 3.

“Masing dilantik sebagai TKM kerana kedudukannya yang paling kanan sebagai pemimpin parti komponan BN kedua terbesar di Sarawak. Jawatan TKM ketiga biasanya dikhaskan untuk kaum Cina tetapi, dalam kes ini, ia diberikan kepada Abang Johari. Jadi sekarang kita mempunyai dua TKM daripada PBB dan hanya masuk akal bahawa seorang daripada mereka dinaikkan ke jawatan Ketua Menteri,” kata bekas pemimpin parti itu.

Beliau berkata sekiranya seorang daripada TKM dilantik sebagai ketua menteri baharu, jawatan TKM yang kosong berkemungkinan diisi oleh seorang wakil kaum Cina, kemungkinan besar daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang menunjukkan banyak kemajuan dalam pilihan raya negeri lepas.

Dalam pilihan raya pada April 2016, PBB memenangi kesemua 40 kerusi yang ditandinginya, PRS memenangi semua 11 kerusi, SUPP (tujuh daripada 13 kerusi), SPDP (tiga daripada lima kerusi), dan calon BN (11 daripada 13 kerusi). — Bernama


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments