Terkini


Luahan Sayu Isteri Kepada Tahanan Yang Mati Dipukul Dalam Lokap

Klang – “Saya terkilan kerana tak dapat sambut perayaan (Thaipusam) dengan suami hari ini (semalam) dan kami masih trauma dengan apa yang terjadi,” luah isteri kepada mangsa tahanan lelaki yang ditemui mati dalam lokap dipercayai akibat dipukul Selasa lalu.



Natthanan Yoochoomsook, 38, berkata, dia tidak menyangka suaminya akan pergi dalam keadaan begitu apatah lagi mereka sekeluarga sepatutnya menyambut Thaipusam bersama-sama.

“Saya tak sangka dia pergi dalam keadaan menyayat hati, sehari sebelum kejadian kami berjumpa namun dia kelihatan seperti biasa,” katanya.

Natthanan yang berasal dari Thailand bersama ahli keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi menuntut siasatan bebas dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian suaminya, S Balamuguran, 44.

Dalam kejadian Selasa lalu, lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 11.30 malam dan pasukan perubatan yang melakukan pemeriksaan mengesahkannya sudah meninggal dunia dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Sebelum itu lelaki terbabit ditahan di sekitar Klang bagi membantu siasatan berhubung kes samun.


Dalam pada itu, adik mangsa, S Kumar, 37, berkata, abangnya bersama dua lagi rakan ditahan Isnin lalu atas kesalahan menaiki kereta sudah tamat cukai jalan selain polis menemui beberapa peralatan digunakan untuk kejadian samun.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam tahanan, abangnya memberitahu dia dipukul dalam lokap selain mengadu menghadapi kesukaran untuk bernafas.

“Ketika kami menemui abang di Mahkamah Majistret Klang dia mengadu dipukul dalam lokap selain sukar bernafas.

“Peguam juga ada beritahu abang saya muntah selepas minum air,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusof Mamat berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa yang berlaku dan siasatan berhubung kes terbabit dijalankan.

“Kami tak akan berkompromi dengan sesiapapun, jika ada salah laku kami akan ambil tindakan, malah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor juga akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat kejadian ini seperti dakwaan keluarga dan peguam mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati mangsa antara suspek dalam enam kes samun sekitar daerah Klang. – Harian Metro

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments