Header Ads

  • Terkini

    Dua Rakyat Malaysia Disangka Hilang Di Jakarta Rupanya Kena Lokap

    JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia hari ini mengesahkan dua rakyat Malaysia yang dilaporkan "hilang" di Jakarta sejak 30 Mac lepas kini berada dalam tahanan polis di sini.


    Dua Rakyat Malaysia Disangka Hilang Di Jakarta Rupanya Kena Lokap

    Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, Mohamad Shafa Ahmad dan Kamarol Ariffin Mohamad Darus dapat dikesan setelah Atase Polis DiRaja Malaysia dan Atase Imigresen di Kedutaan Besar Malaysia menjalankan siasatan mengenai "kehilangan" mereka.

    Katanya, bagaimanapun pihak kedutaan masih belum menerima notis pemakluman secara rasmi dari pihak berkuasa Indonesia mengenai penahanan mereka berdua.

    "Kita telah menghantar satu pasukan untuk bertemu dengan pihak berkuasa Indonesia dan kita masih menunggu laporan lanjut dari Polis Indonesia," katanya.

    Mohamad Shafa, 29, dan Kamarol Arifin, 27, masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juruteknik kilang, dilaporkan hilang oleh keluarga mereka.

    Mereka hilang selepas tiba di Jakarta dengan menaiki pesawat AirAsia pada jam 2 petang 29 Mac lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).


    Dua sahabat baik itu berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor dikatakan mengunjungi ibu kota ini untuk menonton konsert Dj Armin Van Buuren di Jakarta International Expo di sini.

    Waris kedua-dua lelaki berkenaan melaporkan mengenai kehilangan itu setelah mereka tidak menghubungi keluarga sejak tiba di Jakarta dan juga tidak mendaftar masuk ke hotel yang ditempah.

    Abang ipar kepada kepada Mohamad Shafa, Mohamad Hafizul Razali berada di Jakarta bagi mencari mereka berdua.

    Bagaimanapun misteri kehilangan mereka didedahkan oleh seorang ahli perniagaan Malaysia di Indonesia Datuk Dr Fauzi Mohamad pagi tadi.

    Fauzi menyatakan beliau dan isterinya Datin Zaitun Evitania telah beberapa kali berkunjung dan bertemu dengan kedua-dua lelaki terbabit di balai polis Seksyen Lapangan Terbang di sini.

    Katanya, beliau mendapat maklumat bahawa penahanan kedua-dua lelaki itu bagi membantu siasatan kes dadah Malaysia dan beliau sedang berusaha mendapatkan khidmat guaman untuk mereka.

    - BERNAMA


    Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad