Header Ads

  • Terkini

    Tak Bayar Hutang, Lelaki Hampir Maut Di Bom Along

    TAIPING: Seorang pekerja kilang kejuruteraan cedera di kedua-dua kakinya apabila bahan letupan yang dipasang pada keretanya meletup sebaik pintu kenderaan itu dibuka di Taman Pengkalan Setia, Simpang, dekat sini malam tadi.


    Tak Bayar Hutang, Lelaki Hampir Maut Di Bom Along

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun mengalami luka serta dikesan ada serpihan menyerupai skru dalam kedua-dua kakinya, dipercayai perbuatan khianat disyaki dilakukan oleh along.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata siasatan pihaknya menemui beberapa besi, bateri, wayar pendek dan tali di tempat kejadian dipercayai komponen bahan letupan buatan sendiri untuk mencederakan mangsa.

    "Siasatan mendapati mangsa datang dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, untuk melawat anak lelakinya pada Sabtu (kelmarin). Mangsa pernah tinggal di Taiping kira-kira tiga tahun lalu dan kini hanya anak lelaki yang bersekolah Tingkatan Lima tinggal di sini.

    "Malam tadi, mangsa bersiap untuk pulang ke Bukit Mertajam dan sebaik mangsa membuka pintu bahagian pemandu kereta Toyota Corolla, berlaku suatu letupan kuat yang mencederakan kedua-dua kakinya," katanya di sini hari ini.


    Harrith Kam berkata, tiada saksi yang nampak kejadian itu manakala suspek memasang bahan letupan dipercayai menggunakan kaedah mengikat tali ke pintu kereta yang akan meletup sebaik tali ditarik apabila pintu dibuka.

    Beliau berkata, siasatan juga mendapati mangsa pernah memiliki kilang kejuruteraan di Seberang Perai, Pulau Pinang, dan meminjam wang sebanyak RM300,000 daripada along.

    Katanya, oleh kerana mangsa tidak mampu membayar hutang sebanyak itu, mangsa sekeluarga berpindah ke Taiping dan selepas lebih setahun tinggal di sini tanpa gangguan along, mangsa berpindah balik ke Bukit Mertajam sehingga sekarang dan melawat hanya anaknya pada hujung minggu.

    "Mangsa sendiri percaya punca kejadian adalah perbuatan along yang masih menagih hutang belum dijelaskan dan mengesyaki konco along berkenaan mengekorinya sehingga ke Taiping dan perbuatan memasang bahan letupan itu adalah untuk menakutkan mangsa supaya menjelaskan hutang.

    "Siasatan polis akan berusaha mengenal pasti along terbabit dari Seberang Perai yang disyaki melakukan perbuatan itu," katanya.

    - Berita Harian


    Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad